Perancis Mungkin Larang Hijab
Perancis mahu mengkaji trend yang pemakaian burqa (hijab) yang semakin berkembang di sini, dengan cadangan mungkin melarang pemakaian berasaskan Islam itu di khalayak ramai, kata jurucakap kerajaan kelmarin.
Luc Chatel memberitahu televisyen France-2 bahawa kerajaan mungkin menuntut satu penubuhan suruhanjaya Parlimen yang boleh mencadangkan perundangan bagi melarang wanita Islam memakai hijab dan pakaian bertutup penuh di luar rumah.
"Jika kami mendapati pemakaian hijab ketara di kalangan wanita, kami akan menggariskan kesimpulan yang jelas," kata Chatel. Ditanya sama ada ia bermaksud mengharamkan pemakaian hijab di Perancis, ujarnya, "mengapa tidak?"
Di Perancis, istilah 'burqa' dan 'niqab' biasanya digunakan bertukar ganti. Ia merujuk kepada pakaian bertutup penuh dipakai secara meluas di Afghanistan dengan hanya bahagian mata kelihatan manakala satu lagi bermaksud pakaian bertutup penuh yang biasanya berwarna hitam.
Ulasan Chatel membantu mengulangi semula perdebatan sama ada pakaian Islam itu sesuai di Perancis, negara yang bangga dengan tradisi sekular panjang.
Pada 2004, satu undang-undang mengharamkan pemakaian tudung dan simbol keagamaan itu di sekolah umum Perancis mencetuskan perdebatan hangat. Penyokong larangan itu menegaskan ia perlu bagi memastikan sekolah Perancis secara tegas mengamalkan sekular sementara sesetengah umat Islam mencabar undang-undang yang secara khusus menyasarkan mereka dan secara tidak wajar menghukum gadis Islam.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Michele Alliot-Marie berkata kelmarin kajian suruhanjaya Parlimen berhubung isu itu adalah 'cara lebih sesuai' untuk mengetahui secara mendalam pemakaian burqa dan niqab di Perancis dan maklum balas mengenainya.
Katanya, peruntukan undang-undang mengenai apa yang boleh dipakai dan tidak boleh di khalayak ramai, adalah perkara rumit.
Beliau juga mengakui agak sukar untuk mengenal pasti sama ada wanita memakai hijab penuh kerana dipaksa atau mahu berpakaian sedemikian, kata Alliot-Marie.
"Ia adalah masalah yang secara relatifnya rumit," katanya kepada media.
Ketua parti pembangkang Perancis Sosialis, menolak isu itu, menyatakan di tengah krisis kewangan global, pembuat dasar negara itu mempunyai lebih banyak isu lebih penting untuk ditangani.
0 Responses to "Perancis Mungkin Larang Hijab"
Post a Comment