Showing posts with label Rencana. Show all posts
Showing posts with label Rencana. Show all posts

Ramadan Kemuncak El Nino

Monday, June 15, 2009

(0) Comments

Cuaca paling panas berikutan fenomena El Nino dijangka berlaku pada bulan puasa nanti.

LAZIMNYA, antara ungkapan popular yang sering menjadi petua orang kita mengenai petunjuk ketibaan bulan Ramadan ialah azan Maghrib semakin awal. Juga suhu panas pada tengah hari sesuai dengan maksud asal Ramadan dalam bahasa Arab.

Perkataan itu yang dirujuk kepada bulan kesembilan dalam takwim Hijrah dipercayai digunakan masyarakat Arab kerana keadaan panas sepanjang bulan tersebut. Tidak hairanlah Rukun Islam ketiga itu begitu sinonim dengan suasana cuaca panas.

Namun Ogos ini, umat Islam khasnya di sekitar Lautan Pasifik buat julung kali akan merasai ‘kehangatan’ Ramadan seiring kemunculan fenomena El Nino. Kali ini ujian sebenar Ramadan menyamai saudara seagama di bumi gersang Asia Barat.

Apa tidaknya, Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa lalu meramalkan negara mungkin mengalami fenomena itu ekoran cuaca panas kering. Ia berikutan tiupan angin Monsun Barat Daya yang dijadual berlaku sehingga akhir September depan.

El Nino dikatakan tanpa disedari sudah terbentuk namun kekuatannya cuma dapat dikenal pasti mulai Ogos ini. Justeru Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merangka beberapa langkah awal bagi mengurangkan kesan fenomena itu.

“Ironi tidak jelas apakah tindakan dilakukan pihak berkuasa termasuk mengekang aktiviti pembakaran terbuka yang meningkatkan jerebu. Adakah membakar sate secara terbuka untuk dijual juga dilarang?,” soal Mohd. Nizam Mahshar.

Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu ketika dihubungi bagaimanapun mempersoalkan kurangnya persediaan bagi menghadapi El Nino. Ini kerana fenomena itu bukan cuaca luar biasa malah selalu berulang pada setiap empat tahun.

Malangnya, kita seperti tidak belajar daripada sejarah dan ia dapat dilihat ketika kejadian El Nino terburuk berlaku pada 1982, 1983, 1997 dan 1998. Waktu itu, negara teruk dilanda jerebu dan lebih parah, mengalami kekurangan bekalan air mentah.

“Banyak empangan kering-kontang dan puncanya kerana kawasan tadahan di sekitarnya terjejas akibat penebangan hutan tanpa kawalan sekali gus mengancam zon penampan. Kini kita kembali ‘bising’ apabila El Nino datang semula,” katanya.

Mohd. Nizam seterusnya menambah, sepatutnya tahun 2009, negara kita menghadapi El Nino dengan penuh persediaan rapi, bukan digerunkan dengan amaran krisis air yang bakal melanda akibat beberapa empangan mengalami susut stok tadahan.

Keadaan panik sekarang ujar beliau, muncul kerana Malaysia setakat ini masih belum memiliki dasar jelas berhubung pelan tindakan kesan perubahan iklim sejagat. Jawatankuasa yang dibentuk kini biasanya bersifat ad-hoc dan bukan tetap.

“Sewajarnya daripada El Nino yang lepas, negara tidak perlu risau empangan kering dan jerebu ekoran pembakaran terbuka, tetapi apa berlaku, kita diberi amaran itu dan ini mengenai El Nino semacam esok dunia hendak kiamat,” jelas beliau kesal.

Hakikatnya, fenomena berulang itu tidak banyak mempengaruhi purata iklim setempat. Sebaliknya cuaca panas melampau kebanyakan disumbangkan oleh faktor persekitaran semasa seperti penebangan hutan dan pembakaran sengaja.

Misalnya suhu Cameron Highlands secara purata berlegar 15.3 darjah Celsius pada bulan Ogos dengan kelembapan 92 peratus. Namun ia pernah mencecah hampir 28 darjah Celsius suatu ketika kerana banyak kawasan bukit di situ habis digondol.

“Justeru suhu panas bukan disebabkan El Nino tetapi akibat perbuatan manusia sendiri. Ini perlu difahami kerana setiap perubahan iklim lebih bersifat kepada proses penyelarasan semula planet bumi secara semula jadi,” kata Mohd. Nizam.

Pihak berkuasa ujarnya, harus melihat El Nino seperti masalah banjir yang memerlukan pencegahan awal seperti membina parit monsun atau mendalamkan sungai. Ia amat mudah kerana El Nino boleh diramal sama seperti kes tsunami.

Bayangkan menerusi langkah persediaan awal, sektor pertanian misalnya tidak perlu risau ketibaan El Nino. Ini kerana tali air sokongan sudah dibina untuk memastikan bekalan air tidak terputus, sekali gus tempias El Nino boleh diminimumkan.

Raja Nur Azreen

Kasanova Jerat Mahasiswi

Monday, June 15, 2009

(0) Comments


PERTEMUAN dengan tetamu ruangan Pengakuan minggu ini dirancang dalam tempoh singkat. Berkenalan dengannya di laman siber, lelaki berusia 33 tahun ini sudi berkongsi pengalaman pahitnya dengan satu syarat iaitu dia tidak mahu gambarnya disiarkan.

Memilih kafe di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pemilik tubuh sasa berkulit kuning langsat yang mahu dikenali sebagai Badrul ini ramah menyambut kehadiran penulis.

“Saya pernah dipenjarakan atas kesalahan menipu, menyamar sebagai pegawai polis dan menggunakan wang palsu.

“Ketika berumur 26 tahun, saya sudah mampu memiliki kereta dan mula main perempuan yang kebanyakan mangsa saya ialah pelajar institusi pengajian tinggi.

“Pada masa itu saya menyamar sebagai seorang pegawai polis berpangkat Inspektor. Kereta dan kebolehan saya bertutur dalam bahasa Inggeris memang jadi umpan untuk menarik perhatian pelajar wanita.

“Bila mereka sudah ‘cair’, saya ajak mereka ke rumah sewa dengan satu janji iaitu saya akan berkahwin dengan mereka selepas mereka tamat pengajian,” katanya.

Pada pemerhatian penulis, Badrul memang tidak sia-siakan pakej dirinya untuk memikat wanita. Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini segak orangnya, berperwatakan menarik dan pandai bergaya. Pendek kata, gelaran lelaki metroseksual amat sesuai untuknya.

Tidak cukup dengan meniduri mereka, Badrul memberitahu, dia juga mengajar semua teman wanitanya mengambil syabu atau ice, supaya hubungan seks mereka mampu bertahan lama.

“Macam-macam saya lakukan untuk buat mereka sayang dan percaya pada saya. Tak cukup dengan kata-kata manis dan kesanggupan untuk berkahwin, saya ikut mereka pulang ke kampung dan berkenalan dengan keluarga mereka.

“Malah, saya pernah mempunyai tiga orang tunang pada satu masa. Saya minta tolong rakan-rakan untuk menyamar sebagai ahli keluarga bagi memastikan rancangan saya berjaya,” cerita Badrul.

Menurutnya, setelah ikatan pertunangan dijalinkan, Badrul mula bercerita tentang skim pelaburan yang dijalankannya bersama beberapa orang kawan untuk mencari duit lebih.

“Tidak sukar untuk meyakinkan mereka bahawa pelaburan ini mampu memberi pulangan sehingga tiga kali ganda. Caranya, selepas dua kali mereka melabur, saya memberi pulangan seperti yang dijanjikan.

“Selepas itu berebut ahli-ahli keluarga yang lain melabur sehingga berbelas ribu ringgit dengan harapan dapat duit berkepuk tanpa perlu bekerja,” katanya.

Helah Berkursus

Cerita Badrul, untuk melarikan diri daripada keluarga tiga tunangnya itu, dia menggunakan alasan terpaksa pergi berkursus selama enam minggu sebagai satu prosedur yang wajib dipatuhi untuk kenaikan pangkat.

“Pada masa itulah saya lari dengan duit hampir RM50,000 ke Sarawak. Ketiga-tiga tunang saya tinggalkan. Bukan tak ada rasa sayang dan simpati, tetapi keinginan untuk hidup mewah mengatasi segalanya.

“Di Kuching, saya ulangi perbuatan sama, menggunakan kelebihan diri untuk menipu dan mengumpul seberapa banyak wang,” katanya.

Namun, penyamaran kali ini tidak bertahan lama. Biarpun identiti sebenar tidak diketahui oleh mangsa-mangsanya, Badrul ditahan selepas kira-kira enam bulan meninggalkan Kuala Lumpur.

“Salah seorang tunang telah hamil tanpa pengetahuan saya. Apabila tunang mengakui kami kerap tidur bersama, keluarganya mula mengesyaki sesuatu lebih-lebih lagi selepas diberitahu saya mengajarnya menghisap ice.

“Saya diberitahu, keluarga tunang mencari saya sehingga ke Bukit Aman untuk mengetahui di mana tempat saya ‘berkursus’ untuk segera dinikahkan, namun mereka gagal mengesan saya.

“Salah seorang sepupu mangsa yang berada di Kuching memberitahu mereka pernah terserempak dengan saya memakai uniform polis di sekitar bandar raya itu. Dia lapor pada polis dan tidak lama kemudian saya ditahan,” kata Badrul.

Tak Sempat Minta Ampun

Pengalaman hidup di balik jeriji besi amat menginsafkan Badrul. Baginya, tempoh yang terpaksa dihabiskan sebagai banduan amat menyeksakan lebih-lebih lagi dia ditempatkan di Penjara Pusat Kuching yang jauh dari keluarganya yang menetap di Melaka.

“Semasa tahun pertama saya di penjara, saya sempat mengutus surat buat arwah emak. Dalam surat balasnya, dia berharap dia dapat melawat saya pada Hari Raya. Namun, seminggu sebelum puasa saya dapat berita mengatakan emak meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi.

“Sejujurnya, hubungan kami tidak begitu baik selepas emak berkahwin lagi. Saya jarang balik ke rumah, kalau balik pun, sekadar tunjuk muka. Apabila emak menasihati saya, saya naik hantu. Saya sering menganggapnya berfikiran kolot dan tak layak bercakap dengan saya.

“Selepas emak meninggal dunia, baru saya terasa kehilangannya. Saya belum sempat minta ampun dan kucup tangannya. Apa yang lebih menyedihkan, saya diberitahu emak terlalu memikirkan saya sehingga membawa kepada kematiannya,” ujar Badrul sebak.

Tambah Badrul, walaupun hidupnya terkurung namun penjara adalah tempat dia belajar mengenal kehidupan.

“Banyak yang saya belajar di situ. Saya pandai mengaji dan sembahyang pun di penjara, mungkin itulah hikmahnya,” katanya.

Ingin Tatap Wajah Anak

Badrul yang dibebaskan dua tahun lalu kini sudah berubah. Dia yang sekarang merupakan eksekutif jualan di pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang, sudah melupakan kisah silamnya dan membuka lembaran baru.

“Saya mengakui terlalu banyak silap yang saya telah lakukan dan ia adalah pengajaran paling bermakna dalam hidup saya. Bagi insan yang pernah saya tipu, hanya kata maaf yang mampu saya lafazkan.

“Jika saya diberi peluang, saya mahu bertemu dengan anak saya. Saya tidak pernah menatap wajahnya. Semasa di penjara, saya diberitahu tunang telah selamat melahirkan anak lelaki dan meminta saya jangan mencarinya serta anak.

“Saya sudah berusaha menjejaki keluarga tunang saya, tetapi mereka telah berpindah.

“Saya sangat berharap, saya diberi peluang untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai bapa,” rintih Badrul penuh insaf.

Raja Nur Azreen

Disebalik Tragedi Solat Isyak

Monday, June 15, 2009

(0) Comments

Tragedi Masjid Al-Furqan di Narathiwat, Thailand baru-baru ini mengimbas kekejaman peristiwa Masjid Kerisek dan insiden Tak Bai pada 2004.

BAU hanyir darah menyambut orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihat Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Thailand.

Lokasi itu, pada malam 8 Jun lalu, telah menyaksikan kejadian serangan sekumpulan enam pengganas berbaju hitam dan bertopeng hingga mengorbankan 11 nyawa jemaah yang sedang khusyuk mengerjakan solat Isyak.

Untuk sampai ke kampung tersebut, penulis perlu menempuh hampir 10 sekatan jalan oleh anggota polis atau pasukan tentera. Wajah mereka nampak bengis dan melihat setiap kenderaan yang lalu dengan penuh curiga.

Meskipun kedudukannya hanya sejauh 50 kilometer dari Sungai Golok yang mengambil masa sejam perjalanan dengan kereta, sesi soal jawab dan pemeriksaan ketat oleh pihak keselamatan Thailand begitu merimaskan.

Mujur, penulis dan jurugambar dapat melepasi pemeriksaan itu dan dibenarkan untuk memasuki lokasi kejadian. Kehadiran kami mengundang rasa ajaib kepada penduduk tempatan.

“Macam mana boleh lepas sekatan? Kalau ikutkan kawalan askar, orang luar tak dibenarkan masuk ke sini,” kata seorang penduduk kampung itu.

Mengetahui kami wartawan dari Malaysia, penduduk kampung menyambut baik kehadiran kami.

“Nakau (wartawan) dari mana? Harap dapat tunjukkan kebenaran dan tolonglah bantu mengurangkan kesengsaraan kami,” luah seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail.

Menurut beliau, orang tempatan sudah hilang kepercayaan kepada media Thailand yang berat sebelah dalam melaporkan berita di wilayah yang sebahagian besar penduduknya berketurunan Melayu itu.

Bagi seorang anak jati kampung itu, Wan Kamaruzaman Wan Latiff, perasaan kecewa dan kecil hati kerap menimpa mereka kerana masyarakat Islam seringkali dipersalahkan setiap kali ada keganasan yang berlaku tanpa ada penghakiman dan pembuktian yang adil.

“Tuhan tidak kurniakan ‘syahid’ kepada jemaah yang mati tempoh hari jika orang Islam benar-benar menjadi dalangnya.

“Sesuatu yang bodoh bagi kami untuk mengorbankan saudara seagama untuk matlamat yang masih kabur,” luahnya yang merupakan adik kepada Wan Abdullah Wan Latiff, 62, imam masjid tersebut yang turut terbunuh.

Kemarahan Yang Memuncak

Kisah duka rumah Allah dicemari tumpahan darah di Selatan Thailand bagaikan kengerian yang berulang. Dalam pada birokrasi Bangkok sering mengetepikan siasatan, hukuman dan keputusan mahkamah mengenai keterlibatan anggota keselamatan mereka, ada sesuatu yang membakar hati orang Islam di wilayah itu.

Apa yang dimaksudkan adalah api kemarahan dan dendam pemberontakan. Sedangkan semua sifat itu sepatutnya tidak meracuni fikiran orang Islam yang diajar mencintai keamanan dan kesejahteraan.

AGENDA 'pengsiaman' Melayu giat dijalankan, kononnya atas dasar nasionalisme.

“Lebih malang dan licik, kemarahan itu dimanipulasi pula kumpulan rahsia yang bertindak dalam samaran bagi melaga-laga hubungan antara Melayu Islam dan Siam Buddha,” kata Zolkipli Ghofur, 42.

Pembekal makanan kering dari Yala yang sering berulang-alik ke Kuala Lumpur itu mendakwa kerajaan Thailand sering berprasangka terhadap orang Melayu. Pemerintah mengesyaki terdapat gerakan bawah tanah yang memusuhi kerajaan, tali barut kerajaan, tentera dan orang Siam Buddha.

“Tetapi akhirnya, orang Melayu juga yang bercerai nyawa. Para ulama dan anak-anak muda ditembak tanpa usul periksa hanya kerana dipercayai merancang keganasan.

SELATAN Thai sebenarnya kaya dengan hasil ekonomi namun dibelenggu kerenah birokrasi.

Zolkipli turut menyebut kematian secara tidak diduga ini boleh berlaku sama ada dengan serangan bom, serang hendap bersenjata, ataupun kejadian pandu tembak di jalanan seperti yang ditakuti penduduk Pattani yang menggunakan jalan raya pada waktu malam.

“Kalau bukan terang-terangan orang Melayu mati di hujung senjata anggota keselamatan kerajaan, ada kes-kes tertentu yang dicanangkan sebagai serangan balas orang Siam Buddha.

“Sampai bilakah helah mencetus kebencian ini hendak dimainkan?” ujar Zolkipli yang tidak mahu gambarnya dirakamkan Jurnal.

Kain Kapan Dan Telur Ayam

Dalam sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Sisomphop Jitphiromsi dari Universiti Songkhla Nakharin, Pattani, dalam kebanyakan kes pembunuhan orang Melayu Thai, isyarat maut akan dihantar sebelum pembunuhan dilakukan.

SERANGAN kejam di Masjid al-Furqan mengorbankan 11 orang jemaaah.

Pasir, beras, kain kapan dan telur ayam diletakkan di depan rumah orang yang akan dibunuh. Beberapa hari selepas itu, orang yang diberi isyarat maut itu akan ditembak. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pembunuhan seperti itu adalah orang bekerja untuk kerajaan (tali barut).

“Jika benar pun ia dilakukan oleh orang Melayu Islam, kami sangat kesal jika ada saudara-mara kami yang berjuang secara sebegitu. Mana mungkin kami boleh kejam terhadap bangsa sendiri, apatah lagi mencemar kemuliaan masjid atas nama mencetus isyarat perjuangan,” kata Zolkipli.

Walau apa pun latar belakang dan niat puak pemisah itu, orang Melayu yang akhirnya dilabel sebagai berbahaya, militan atau ektremis.

SEORANG jemaah tidak dapat menahan hiba tatkala berdoa selepas solat di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan selepas kejadian serangan.

Siri serangan yang mengorbankan nyawa orang Melayu Islam dan Siam Buddha berlarutan sejak hampir sekurun lalu. Sama ada secara rawak atau terancang, prasangka buruk terhadap orang Melayu dirasakan paling buruk ketika Thailand di bawah pentadbiran Thaksin Shinawatra.

Tragedi di Masjid Al-Furqan mengimbas kekejaman kes Masjid Kerisek, Pattani pada tahun 2004 yang mengorbankan seramai 32 orang. Tidak lupa juga, konflik di Tak Bai yang mencalar kesucian Ramadan pada tahun yang sama.

Rentetan tiga tahun selepas itu, penciptaan sengketa Islam-Buddha sudah melonjakkan angka korban di Selatan Thai kepada kira-kira 3,000 orang. Namun, siapa yang mampu menoktahkan semua itu?

Raja Nur Azreen