Rawat Jantung Tanpa Bedah
IJN kendali prosedur baru guna besi yang disiarkan secara langsung ke Australia, hari ini
PEMBEDAHAN bukan lagi satu-satunya prosedur menangani masalah jantung kongenital. Hari ini tanpa pembedahan, masalah jantung kongenital seperti jantung berlubang boleh ditangani dengan menutupnya menggunakan alat yang dikenali sebagai 'Amplatzer device'.
'Amplatzer device' adalah adalah besi halus yang digunakan untuk menutup lubang pada jantung. Terdapat pelbagai saiz dengan paling kecil berukuran empat milimeter manakala paling besar adalah 40 milimeter. Ia sampai ke jantung menerusi teknik tiub (transcatheter technique) dan dimasukkan menerusi paha.
Ketua Jabatan Kardiologi Pediatrik, Institut Jantung Negara, Dr Mazeni Alwi, berkata teknik ini adalah antara prosedur rawatan jantung kongenital yang ditawarkan di IJN.
Lebih mengagumkan, Dr Mazeni akan mengetuai pasukan perubatan IJN dalam tiga prosedur teknik tiub yang disiarkan secara langsung ke Australia, hari ini.
Usaha itu (dua membabitkan pesakit jantung kongenital dan satu pesakit jantung dewasa) adalah sebahagian daripada program pengajaran dan pembelajaran Kongres Jantung Pediatrik dan Pembedahan Jantung Sedunia yang berlangsung di Australia bermula 19 hingga 21 Jun 2009.
Menerusi teknik tiub menggunakan amplatzer, doktor akan mengukur saiz lubang pada jantung sebelum prosedur dilakukan. Amplatzer diperbuat daripada aloi jenis nitinol, bahan yang sama digunakan bagi menghasilkan pacemaker (alat yang mengawal denyutan jantung tidak normal). Justeru tidak timbul persoalan penolakan oleh tubuh.
"Kelebihan teknik ini adalah ia boleh dibuat tanpa pembedahan besar seperti sebelumnya. Malah prosedur ini hanya mengambil masa sekitar dua atau tiga jam," katanya.
Jelas Dr Mazeni, kelebihan prosedur ini adalah tempoh pemulihan lebih cepat berbanding pembedahan terbuka. Malah dalam tempoh 48 jam, pesakit boleh kembali aktif seperti biasa.
Antara tiga kes yang dikendalikan Dr Mazeni - dua daripadanya membabitkan pesakit pediatrik. Kes pertama, remaja berusia 15 tahun yang menghidap masalah jantung berlubang (tetralogy of fallot - TOF) manakala satu kes lagi membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang mengalami masalah saluran darah berlebihan di jantung (fistula).
Jelas Dr Mazeni, TOF adalah satu daripada 10 jenis masalah jantung kongenital yang biasa ditemui pada kanak-kanak.
Umumnya, pembedahan sementara untuk pertama kali biasanya dibuat ketika pesakit masih kecil. Bagaimanapun, ada kalanya selepas pembedahan, lubang pada jantung tidak tertutup dengan sempurna. Keadaan itu tiada kaitan dengan kepakaran pasukan perubatan. Sebaliknya sifat penyakit itu sendiri yang menyebabkan lubang pada jantung sukar ditutup.
Bagi kes pertama, pembedahan awal TOF yang dibuat pada 1999 tidak membantu. Lubang seluas lapan milimeter pada jantung masih wujud menyebabkan dia memerlukan pembedahan kedua.
Dalam kes pertama ini, amplazter akan digunakan dan dimasukkan ke jantung dengan tiub (kateter).' Apabila ia tiba di kawasan yang perlu dibaiki, ia akan ditolak keluar dari kateter dan kembali kepada bentuk asal, seakan cendawan berkembar. Amplazter dengan sifatnya yang fleksibel ia mudah menutup lubang pada jantung.
Kes kedua membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang berhadapan dengan saluran darah tambahan di arteri koronari jantung (fistula koronari arteri). Bagaimanapun kanak-kanak ini tidak berdepan dengan simptom kegagalan jantung. Masalah itu dikesan secara tidak sengaja oleh doktor ketika rutin pemeriksaan kesihatan.
Kata Dr Mazeni, walaupun tanpa simptom, kegagalan jantung kanak-kanak ini boleh menyebabkannya mengalami komplikasi kesihatan apabila dewasa sekiranya masalah itu tidak ditangani.
"Dia mungkin berhadapan dengan keadaan peningkatan jumlah darah ke paru-paru. Selain itu, dia mungkin mengalami masalah salur darah jantung tersumbat selain risiko jangkitan," katanya.
Fistula koronari arteri masalah yang jarang berlaku, tetapi ia membabitkan koronari arteri dan ruang jantung atau sistem vena. Untuk kes kedua, teknik tiub juga digunakan sebagai prosedur rawatan.
Apa itu masalah jantung kongenital?
Masalah jantung kongenital adalah sejenis kerosakan atau kecacatan dalam satu atau lebih struktur salur darah yang terjadi sebelum kelahiran bayi. Ia mungkin membabitkan bahagian dinding dalam jantung, injap atau arteri dan vena sekali gus mengganggu aliran darah normal melalui jantung.
Sebenarnya masalah jantung kongenital adalah perkara biasa yang ditemui di kalangan bayi baru lahir. Di Amerika contohnya, masalah ini dikesan di kalangan lapan atau 10 bayi daripada setiap 1,000 kelahiran.
Di Malaysia, dengan perkembangan kemudahan kesihatan yang semakin baik banyak kes masalah jantung kongenital dapat dikesan sebaik saja seorang bayi itu dilahirkan.
Masalah jantung kongenital tidak terhad kepada satu keadaan sebaliknya pelbagai. Ia mungkin masalah injap atau dinding dalam jantung. Malah, ada bayi yang mengalami dua atau tiga kecacatan struktur jantung serentak.
Bergantung pada kerosakannya, kecacatan yang sedikit mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom. Manakala kecacatan yang kompleks dan serius boleh berhadapan pelbagai simptom yang mengancam nyawa.
Bagi kebanyakan orang, punca masalah jantung kongenital tidak diketahui. Bagaimanapun, faktor genetik kerap dikaitkan sebagai antara sebab utama walaupun peratusannya tidaklah dominan.
Namun, risiko untuk memiliki anak dengan masalah jantung kongential adalah tinggi jika ibu bapa atau adik beradik memiliki masalah yang sama - risiko meningkat daripada lapan dalam setiap 1,000 orang kepada 16 dalam 1,000 orang.
Namun, punca sebenar mengapa ia terjadi tidak diketahui secara tepat.
Faktor yang boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko masalah jantung kongenital.
· Masalah genetik atau kromosom misalnya di kalangan kanak-kanak sindrom down
· Pengambilan sesetengah ubat atau alkohol atau penggunaan dadah ketika hamil
· Jangkitan kuman ketika hamil seperti rubela pada awal kehamilan.
Jenis masalah jantung kongenital secara umum
· Kecacatan pada injap jantung - penyempitan atau stenosis pada injap atau injap tertutup yang menghalang aliran darah. Kecacatan injap yang lain termasuk injap bocor.
· Kecacatan pada dinding antara atria dan ventrikles jantung (atrial and ventricular septal defects). Ia menyebabkan darah beroksigen dan tidak beroksigen bercampur antara jantung sebelah kanan dan kiri.
· Otot jantung tidak normal yang menyebabkan kegagalan jantung
Mengenali simptom jantung congenital
Antara yang mungkin;
· Bernafas dengan cepat
· Lebam pada kulit, bibir dan kuku
· Keletihan walaupun selepas menyusu
· Aliran darah dalam badan tidak sempurna - ia menghasilkan bunyi yang dikenali sebagai 'heart murmur' namun bukan semua heart murmur itu tanda masalah jantung jantung.
7 Responses to "Rawat Jantung Tanpa Bedah"
Deen
saya ingin bertanya beberapa soalan.
ibu saya mengalami masalah injap jantung bocor. umur ibu saya 59 tahun.setelah di buat pemeriksaan terperinci doctor pakar menyesyorkan ibu daya di bedah untuk menggantikan injap yang telah bocor itu dengan injap lain.
soalan saya,
apakah jenis pembedahan yang akan di lakukan
dan jangka masa pemulihan serta penjagaan selepas pembedahan.
berapa percent kan risiko ibu saya pulih dari sakit jantung ini.
harap mendapat penjelasan dari tuan doctor.
sekian, terima kasih.
sy juga ingin bertanya bbrpa soalan.
adik prmpuan sy pghidap TOF sjk dr lhr lg. skrg dia b'usia 21 tahun. blh ke dia buat rawatan tanpa pembedahan.doktor yg rawat dia ckp risiko tggi klau buat pmbedahan.20-30% je..jd kami sekluarga risau utk buat pmbedahan.dktor srh buat kptsn sma ada nk buat pmbedahan atau x.jd sy nk tnya pndpt doktor mcm mna ye..
Post a Comment